Nak Jadi Pembaca Berita?
22:14Terlebih dahulu, saya mulakan dengan suatu penafian atau disclaimer . Saya tidaklah mempunyai pengalaman berpuluh tahun dalam bidang penyia...
22:14
Terlebih dahulu, saya mulakan dengan suatu penafian atau disclaimer. Saya tidaklah mempunyai pengalaman berpuluh tahun dalam bidang penyiaran tetapi mungkin ada sedikit yang boleh dikongsi disini.
*Saya juga ingin meminta maaf untuk apa jua kesalahan tatabahasa yang bakal dilakukan.
>"<
>"<
Ramai diluar sana yang ingin menjadi pembaca berita. Tak semua, tapi ramai juga.
Dunia penyiaran sering dilihat sebagai sesuatu yang dihiasi dengan elemen glamor.
Ye ke?
Sebagai seseorang yang pernah membaca berita untuk dua saluran TV (kini masih lagi membaca untuk salah satu saluran!) dan pernah menjadi seorang wartawan, serta membaca berita melalui corong radio -- pekerjaan sebagai seorang pembaca berita hanya melibatkan peratusan glamor yang sangat rendah.
Ketika menonton di kaca televisyen, membaca berita seolah sesuatu yang sangat mudah. Lebih-lebih lagi, jika anda sekadar membaca, iaitu mengikut skrip di prompter.
Whoa whoa...
Mengikut pengalaman saya, ini adalah persepsi yang salah.
Mengapa?
1. Tidak mudah untuk menyelami dan mempraktik cara pembacaan yang bukan sahaja sesuai dengan saluran media yang terlibat, tetapi senang diterima oleh masyarakat umum. Suatu pembacaan yang sudah diterima bertahun, masih lagi boleh dilontar dengan pelbagai kritikan. Penerimaan cara pembacaan seorang pembaca berita diukur secara subjektif, lagi-lagi dalam masyarakat yang sangat vokal dan mempunyai pendapat untuk segala hal.
Seorang pembaca berita harus mengukir cara pembacaan yang conversational seolah sedang bercerita dengan sahabat. Suatu mesej atau cerita lebih senang diterima dengan cara sebegini.
2. Tidak mudah untuk imaginasi membayangkan penonton merupakan mereka daripada pelbagai pelusuk masyarakat di Malaysia. Sedangkan, kami sebenarnya hanya bercakap dengan robot (kamera) di dalam studio yang sejuk dan sunyi-sepi. Apabila membaca berita, kami perlu menyesuaikan diri dalam situasi yang berbeza, agar pembacaan lebih terpapar sebagai semula jadi.
3. Tidak mudah untuk menghindari diri daripada melakukan kesilapan sebutan -- terutamanya apabila menyebut nama tempat dan nama orang. Saya sendiri tidak kebal daripada kesilapan ini. Pada pandangan saya, penguasaan sebutan adalah lebih sukar untuk Bahasa Inggeris, yang merupakan bahasa yang senang ditulis. Sebaliknya, pada saya, Bahasa Malaysia lebih mudah dibaca tetapi lebih sukar untuk ditulis secara baku.
Jika anda ingin melatih diri sebagai seorang pembaca berita, saya syorkan untuk memuat turun aplikasi kamus dalam telefon bimbit yang juga mempunyai ciri audio. Tiap kali membaca, aplikasi ini boleh digunakan apabila melihat perkataan yang anda sangsi sebutannya. Jadikan ini sebagai suatu tabiat baik. Bukan sebutan sahaja yang perlu diketahui, tetapi maksudnya juga.
4. Tidak mudah untuk menzahirkan ekspresi dan body language yang sesuai tatkala berdebar membaca berita. Ekspresi tidaklah boleh keterlaluan. Pada masa yang sama, tidak boleh juga terlalu kaku. Ekpresi dan pergerakan tangan yang sesuai dan yang memadai boleh dicapai hanya dengan memahami berita yang dibaca.
Newsreaders need to have brains, too. :-)
Pembaca berita masih boleh mempunyai intelektual yang tinggi. Ikuti lah perkembangan semasa. Pemahaman yang baik terhadap sesuatu berita akan memudahkan lagi penyampaiannya.
5. Tidak mudah untuk mengelakkan diri daripada terkena kritikan penampilan. Baju terlalu besar la, muka terlalu putih la. Percaya lah, kami juga berusaha sedaya upaya untuk memastikan penampilan ketika di hadapan kamera segak dan senang dipandang.
"This just in..."
"BREAKING news..."
"Berita tergempar..."
6. Jika terdapat breaking news, anda mungkin tidak sempat menelaah skrip sebelum live, malah menjenguk pun tidak. Nama pun breaking news. Ketika anda memberi salam kepada penonton pada permulaan berita, ketika itulah penulis dan editor sedang bertungkus-lumus di bilik berita untuk mencerna maklumat yang baru diterima, menjadi skrip -- tanpa mencetuskan rasa panik atau meninggalkan isi-isi penting.
Tinggal beberapa minit untuk masuk ke studio, saya mendapat tahu tentang insiden malang ini. Baru beberapa bulan selepas tragedi MH370.
Perasaan sedih dan tidak percaya membuak, serta marah. Studio tiba-tiba menjadi lebih sejuk, menggigil sehingga tidak dapat dikawal. How can this happen again??
Sebagai seorang pembaca berita, emosi sebegini tidak boleh dibiarkan sehingga mengganggu pembacaan. Kita mempunyai tugas untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat Malaysia yang baru sahaja mendapat tahu tentang insiden ini.
* * *
Memang tidak mudah untuk menjadi seorang pembaca berita.
TETAPI.
Mudah, jika kita tekun dan bersemangat tinggi untuk menjadi seorang pembaca berita yang dikenali dan dihormati. Mudah juga jika kita terbuka menerima kritikan, dan berusaha untuk memperbaiki diri.
Jika ini merupakan cita-cita anda, jangan sesekali berputus asa. Kerana bukan mudah untuk mendapat peluang seperti ini.
Nantikan uji bakat, beranikan diri!